Jumaat, Julai 31, 2009

Fizik zarah 0.1

Weltanschaung (pandangan dunia) bahawa alam ini terdiri daripada pelbagai zarah dalam pelbagai bentuk, kedudukan dan aturan sebagai pelakon utama, dan ruang kosong sebagai latar, boleh dijejak kepada pemikir Yunani, Demokritus (460-370 SM). Zarah-zarah ini membina jirim, dan unsur terkecil sesuatu jenis jirim ialah atom. Atom adalah bahagian terkecil jirim - ia tdak boleh dibahagi lagi; ia masih mengandungi segala sifat yang dipunyai oleh jirim berkenaan. Sebelum itu, Anaksagoras (500-428 SM) menyatakan bahawa perubahan dalam jirim adalah akibat perubahan dalam aturan zarah-zarah (tiada pemusnahan atau penciptaan jirim - keabadian jirim), dan Empedocles (484-424 SM) menyatakan bahawa ada empat unsur - tanah, api, air dan udara.

Daripada konsep keatoman/keunsuran yang agak naif itu, kita kini boleh postulatkan kewujudan zarah-zarah keunsuran, dengan sifat-sifat unsur, tetapi sifat-sifat ini bukanlah sifat yang sama yang dipunyai jirim pukal. Bahkan, salingtindak di antara zarah-zarah ini menghasilkan sifat kolektif yang berlainan, tetapi masih tertentu. Namun, zarah-zarah keunsuran masih perlu menjadi 'pemegang' sifat-sifat tertentu, yang berpindah bersama berpindahnya kedudukan zarah berkenaan. Sifat-sifat ini (yang sekarang misalnya dinamakan cas, jisim, dsb) seakan melekat kepada zarah-zarah ini, yang biasanya dianggap seperti titik. Bagaimanakah titik yang tak punya sifat itu boleh membawa sifat-sifat berlainan berlainan zarah? Bolehkah kita ada titik-titik yang berbeza jenis?

Khamis, Julai 30, 2009

keatoman masa

Dalam falsafah sains Islam, ada pendokongan keatoman masa.

Keatoman ruang adalah biasa, seperti dalam graviti kuantum, di mana ada had terkecil saiz ruang, yang dalam graviti kuantum, dikaitkan dengan jarak Planck. Keatoman masa menyatakan bahawa ada saiz terkecil masa, yang digabungkan untuk membina paksi masa yang makro.

Dalam falsafah sains Islam, alam dijadikan pada setiap detik masa oleh Pencipta; yakni bukan sekali dijadikan kemudian ia kekal dalam kejadiannya 'sehingga diberitahu kelak', tetapi ia memerlukan perintah jadi pada setiap detik masa. Jadi keatoman masa cocok dengan konsep ini.

Dalam fizik kuantum, keadaan sesuatu sistem ditentukan oleh ukuran. Dan dalam fizik kuantum sesuatu ukuran itu boleh mengubah keadaan sistem berkenaan. Bila suatu ukuran itu dibuat, sistem berada dalam keadaan eigen berkenaan sehingga ukuran pencerap yang pelengkap kepada ukuran awal itu dibuat, bila mana keadaan sistem berubah dilingkungi ketakpastian berkenaan.

Kita boleh bayangkan sistem kuantum yang setiap detik diukur dan mengambilpakai keadaan tertentu dalam lingkungan ketakpastian. Seperti penciptaan yang berlaku pada setiap detik masa dalam falsafah sains Islam...

Sabtu, Julai 25, 2009

Puisi 1.2

Walaupun bentuk puisi bukan mengalir bebas bebas seperti prosa, dan seolah-olah terkekang ke dalam bentuk bait dan baris, ia sebenarnya lebih bebas daripada prosa kerana ia tidak tertakluk kepada hukum-hukum nahu secara ketat seperti dalam prosa. Baris-baris puisi tidak semestinya perlu berbentuk ayat, dengan subjek dan predikat. Predikat tidak perlu datang selepas subjek secara aturan. Dan sebagainya.

Begitu juga dari segi semantik atau makna. Aturan kata-kata dalam baris puisi tidak perlu memberikan makna yang koheren, apa lagi yang mudah. Bahkan aturan huruf-huruf yang tidak membentuk kata yang lazim juga pernah diketengahkan dalam puisi.

'Lesen puisian' digunakan sebagai surat kebenaran untuk kebebasan bentuk, sintaks dan semantik dalam puisi.

Selasa, Julai 21, 2009

Puisi 1.1

Mengapakah seseorang itu menulis? Komunikasi. Dia mahu sampaikan sesuatu kepada orang lain.

Atau juga sebagai rekod, catatan, Tetapi ini juga sebenarnya merupakan komunikasi, samada kepada orang lain, mahupun dirinya sendiri, pada waktu yang lain.

Puisi adalah sejenis bentuk penulisan. Orang yang menulis puisi mahu mengkomunikasikan sesuatu, dengan perantaraan bentuk yang kenali puisi. Dia tidak memilih bentuk lain seperti prosa. Dia percayai yang bentuk puisi itu ialah yang paling berkesan untuk penyampaiannya.

Bentuk puisi lazimnya menghadkan teks kepada bait-bait dan baris-baris. Ada penyertaan perkataan-perkataan tertentu dan ada peninggalan. Prosa sebaliknya agak lebih lega, kurang terkongkong. Seseorang boleh beri penerangan panjang-lebar menerusi prosa. Namun bagi sang pemuisi, dia merasakan lebih berkesan menulis dalam bentuk-bentuk terkekang daripada memberi penerangan berjela mengenai apa yang hendak disampaikan.