Selasa, Disember 13, 2011

heliks

Beberapa malam yang lepas, ada gerhana bulaan.

Akhbar pun siap memaparkan fasa-fasa dalam berlakunya gerhana ini, dengan gambarajah kedudukan bulan dan bumi. Bulan bergerak dalam orbit keliling bumi, dan bumi bergerak (dalam orbit juga, tapi dengan jejari yang lebih besar) terhadap matahari. Jadi pergerakan bulan terhadap matahari pada fasa-fasa dalam gambarajah ini seperti fasa-fasa dalam pergerakan heliksan, seperti kedudukan-kedudukan teragih di atas heliks.

Dalam surah yasin, ayat 39, kurang-lebih, disebut, "dan bulan, Kami telah ukurkan baginya stesen-stesen sehingga ia kembali seperti tangkai tamar yang tua."

Ambil tangkai tamar dan buangkan buah-buah tamar darinya. Tinggallah tangkai dengan stesen-stesen tamar sahaja, yang seperti kedudukan-kedudukan teragih di atas heliks.

Ini ditunjukkan kepada saya oleh seorang saudara tempoh hari di perkarangan Surau alMuttaqun, Subang Jaya.

Dengan itu, ayat dalam surah yasin ini mengandungi pegetahuan tersirat (1430 tahun yang lalu) bahawa:
1. bulan mempunyai pergerakan heliks: bulan mengelilingi bumi dan bumi bergerak
2. stesen-stesen tamar di atas tangkai berbentuk heliks, mencerminkan proses morfologi tangkai tersebut yang membabitkan heliks.

Yang menarik, jika ada siapa-siapa yang boleh menyemak samada ketanganan heliks-heliks ini sama atau tidak. Kalau tak silap saya hari tu, tangkai tamar itu (seperti heliks DNA) mempunyai ketanganan kanan (tangan kanan digenggam, jari-jari menunjukkan arah putaran, ibujari menunjukkan arah keseleruhan heliks).


qudrat

Malam tu ustaz bahaskan tauhid berdasarkan kitab Syeikh Zainal Abidin alFatani (Tauhid Annajin).

Dia kata takluk sifat qudrat Allah SWT adalah pada yang mumkinat (yang mungkin), dan bukan yang mustahil.

Jadi, jawapan kepada, "Berkuasakah Allah untuk menjadikan kita di luar kawalannya?", ialah bukan, "Tak berkuasa", tapi, "Bukan dalam takluk qudrat", oleh kerana mustahil kita di luar kawalan Dia.

Selasa, November 15, 2011

7 dan 7

Ada tujuh warna dalam pelangi.
Ada tujuh nota dalam satu skala muzik.
Ada hubungan neurologian.....?

Jumaat, Oktober 28, 2011

matematik & realiti - spin

Kalau dilihat dari sudut penerbitan persamaan Weyl atau persamaan Dirac dari pengkuantuman tenaga kerelatifan, spin adalah artifak matematik. Tenaga kerelatifan tak linear, E2 = p2 + m2 (dalam unit di mana c = 1), jadi pengkuantuman berkanun terus memberikan persamaan tak linear (persamaan Klein-Gordon), yang kurang cocok dengan mekanik kuantum yang linear bersama persamaan Schroedinger. Pelinearan hubungan di antara tenaga E, momentum p dan jisim m, memerlukan diperkenalkan nombor-nombor σ atau γ yang antikomut. Bahkan, nombor-nombor ini bertelatah (yakni, punyai algebra yang sama) seperti operator untuk momentum sudut, dengan nilai eigen 1/2. Jadi boleh dikatakan, tafsiran spin itu agak kebetulan, akibat struktur matematik yang ada. Bahkan lagi, ini satu contoh di mana struktur matematik menentukan fiziknya (biasanya, terbalik!).

Namun, spin ini bercampur dengan momentum sudut orbitan dalam kerangka momentum sudut. Jadi, spin ini bukan hanya artifak matematik, tapi benar-benar momentum sudut! Yakah?

Selasa, Oktober 25, 2011

halaju cahaya dan neutrino

Kerelatifan khas menyatakan halaju cahaya sebagai had halaju bagi semua objek. Kenapa halaju cahaya? Bukankah menurut Maxwell, halaju cahaya akibat gabungan ketelapan dan ketelusan vakum, dan kalau menurut teori medan kuantum, akibat pengkutuban vakum akibat penghasilan dan pemusnahabisan zarah-antizarah bercas. Ini semua berkait salingtindak elektromanetan.

Kenapa pula, misalnya, neutrino, yang tidak bersalingtindak secara elektromagnetan, harus terhad halajunya kepada halaju cahaya?

Jumaat, Julai 08, 2011

kerajaan

tanggungjawab kerajaan ialah membela yang lemah terhadap yang kuat.

kalau demokrasi, itu memberi kuasa kepada yang kuat, yang mungkin menekan yang lemah.

Khamis, Julai 07, 2011

mulanya air

mula-mula kejadian dari air.

pada saat-saat awal letupan besar panas semesta, ada fasa plasma kuark-gluon.

tekaan awal plasma kuark-gluon ini seperti gas.

eksperimen perlanggaran ion berat pada tenaga tinggi baru-baru ini telah menunjukkan bahawa plasma kuark-gluon itu lebih seperti cecair daripada seperti gas.

universiti

semenjak revolusi industri, universiti khasnya dan 'ilmu' amnya telah bertunjangkan kemahiran, untuk menyediakan tenaga kerja. kursus-kursus spesifik untuk kerja tertentu.

universiti dan ilmu adalah sepatutnya untuk kehidupan. tak harus timbul soal, masuk universiti
belajar nak kerja apa? apa salahnya masuk universiti nak jadi manusia berguna? nak jadi orang berilmu? nak jadi jiran bertanggungjawab? nak jadi isteri penyeri rumahtangga?

Isnin, Mei 30, 2011

dari grid ke awan ke kabus

Dulu ada komputer. Sebiji-sebiji. Aturcara ditulis sebiji-sebiji apabila mahu dibuat pengiraan atau pengkomputeran tertentu.

Kemudian komputer dirangkaikan. Apabila komputer-komputer dirangkaian hilang muka masing-masing, dan komputeran boleh dibuat di atas mana-mana komputer dalam rangkaian secara binama[1] maka timbullah apa yang dinamakan pengkomputeran grid.

Kini ada pula pengkomputeran awan di mana bukan saja perkakasan yang binama, tapi juga aturcara. Cebisan-cebisan aturcara yang digunakan tinggal di lokasi-lokasi tak perlu diketahui. Ia dicapai dan digunakan bila perlu, bagi membuat sesuatu pengkomputeran.

Nanti bila orang dah banyak buat komputeran, dan banyak hasil-hasil komputeran ini tersepah di internet, maka kita ada pula pengkomputeran kabus. Sebahagian aturcara tak perlu pun dijalankan lagi kerana hasilnya telah wujud di suatu tempat di rangkaian. Hasil-hasil terus dicapai dan terus digunakan bila diperlukan.


[1] bi+nama : tanpa nama, anonymous

Ahad, Januari 09, 2011

2011

dah 2011!
2010 telah pergi tanpa catatan!