Selasa, Disember 30, 2008

sosiofizik 0.1

yang lebihnya organisasi terhadap aturan (order) ialah adanya matlamat.

dalam swaorganisasi, matlamat ialah suatu perkara timbulan.

sosiofizik 0.0

suatu organisasi terdiri daripada entiti-entiti dalam struktur tertentu, setiapnya dengan tindakan/peranan masing-masing, menuju suatu tujuan/matlamat.

Rabu, Disember 24, 2008

ekonofizik 0.1

ekonomi adalah taburan benda atau sumber.

ekonofizik 0.0

ada 1 orang. dia ada 1 benda dengan amaun x1. dia puas hati. (kalau dia tak puas hati pun dia tak boleh buat apa-apa.)

ada 1 orang. dia ada N benda dengan amaun xi, i=1,...,N. dia tak boleh buat apa-apa.

ada 2 orang A dan B. setiapnya ada satu benda yang sama dengan amaun masing-masing xA1 dan xB1. mereka tak boleh buat apa-apa.

ada 2 orang. satu ada sejenis benda dengan amaun xA1, dan yang satu lagi punyai benda yang lain dengan amaun xB2. mereka boleh niagakan yang satu dengan yang satu lagi. sampai bila? sehingga kedua-dua puas hati. kalau mereka klon, sehingga xA1=xB1 dan xA2=xB2.

bermulalah ekonomi...

Khamis, Disember 11, 2008

di mana perginya klorofil di musim luruh


sehelai daun momoji yang luruh.

masih segar, daun momoji ini, bukan kering berkarat.

warnanya kemerahan seakan warna pelengkap kepada warna hijau.

kalau mahu simpan klorofil hijau waktu dingin, tolak saja warna hijau dari daun hijau - jadi putihlah, kan? hijau - hijau = putih.

tapi ini pelengkap kepada hijau. ataupun negatif hijau. bermakna musim luruh itu menolak dua kali hijau dari hijau daun: hijau - 2 hijau = -hijau.

apa kata pakar klorofil ya?

Khamis, Disember 04, 2008

mudahalih + sesawang = pengkomputeran konteksan

mobile + web = contextual computing

web yang mengetahui konteksnya misalnya kedudukannya, waktu, arah ia bergerak, siapa di keliling, dsb. membabitkan misalnya komunikasi tanpawayar, gps, pengukur pecutan, kompas elektronik, pengesan getaran, dan/atau sebagainya.

perlu tambah kepada protokol. tcp/ip+m. boleh adakan misalnya penggesa kejiranan - panggilan untuk menghantar pertanyaan secara tanpawayar supaya sesiapa yang ada disekitarnya memberi sambutan. boleh tanya pengenalan, boleh juga tidak tanya. ini boleh jadi batu binaan untuk rangkaian ad hoc.

kegunaan yang banyak. misalnya bas bercakap dengan bas bercakap dengan tempat tunggu bas. boleh beritahu dan paparkan bas mana yang lambat, dan banyak mana lambatnya. fontangan yang mengsuis ke mod penggetar bila menyedari berada dalam bilik mesyuarat. komputer meja yang terus berubah kepada persekitaran komputeran seseorang apabila mengesan dia itu datang kepadanya. kereta bercakap dengan kereta bercakap dengan kereta dengan kereta... dan secara beramai-ramai mengira jalan mana yang harus diikuti untuk sampai paling cepat ke sesuatu destinasi. dan macam-macam lagi.

pengkomputeran konteksan.

Rabu, Disember 03, 2008

nama khas

Dalam bahasa Melayu, 'times square' tentu memberikan bunyi baku yang pelik. Tetapi mereka tulis 'Times Square' (disebut "taims skuer") dan menyelindung di belakang alasan 'nama khas'.

Mari kita penyet sedikit hal ini. Bagaimana dengan 'München'? 'ü' tidak wujud dalam abjad Melayu. Suatu hukum pengubahsuaian diperlukan di sini. Mungkin kita boleh adakan hukum ü → ue (seperti dalam bahasa Inggeris) untuk ini. Tetapi bagaimana pula dengan 'Notkestraβe'? Hukum pengubahsuaian lagi? Ataupun 'København'? Lagi? Atau 'Łódź'? 'Mocĸвa'? 'Coфия'? 'Aθηνα'? 'القاهرة'? 'つくば'? '上海'?

Banyaknya hukum pengubahsuaian! Kenapa kita tidak gunakan hukum pengubahsuaian yang mudah - nama khas dieja menurut bunyinya. Jadi '上海' ialah 'Syanghai'. 'つくば' pula 'Tsukuba'. 'Alqahirah' mewakili 'القاهرة', 'Athina' untuk 'Aθηνα' dan 'Coфия' itu 'Sofia'. Ibunegera Rusia itu 'Moskva', sementara 'Wuc' adalah bandar di Poland dan 'Kobenhaven' ibunegara Denmark. 'Notkestrase' ialah nama suatu jalan di Hamburg. Hamburg dan Muenkhen adalah bandaraya-bandaraya di negara Doisyland.

Di Malaysia, perlu diubah papantanda untuk 'Berjaya Taims Skuer', 'Putra Haits' dan 'Jojtaun'.

Isnin, November 17, 2008

'pi in the sky' (pai di langit)

pi = lilitan/diameter untuk bulatan.

ia tetap untuk ruang yang datar.

ia seharusnya berubah untuk ruang melengkung.

dalam graviti dan kerelatifan am, sepatutnya pi adalah pembolehubah, bergantung kepada kelengkungan ruangmasa. bukan tetap.

berapa banyak pi yang perlu dimodifikasi dalam teori graviti!
begitu juga dalam teori-teori fizik zarah ala kaluza-klein!

Selasa, November 11, 2008

sekuark, dua kuark, tiga kuark, ...

Kromodinamik kuantum (QCD), yang menerangkan daya nukleus kuat, adalah pelik. Bukan semudah elektrodinamik kuantum, yang menerangkan daya elektrik di antara zarah-zarah yang bercas elektrik.

Di tengah drama ini ialah kuark yang mempunyai cas warna, iaitu cas QCD. Ada 3 jenis cas warna - dinamakan merah, biru dan hijau. Keadaan-keadaan bebas tidak boleh mempunyai warna, kerana warna akan menyebabkan tidakbalas QCD. Jadi kita boleh ada keadaan-keadaan ikatan kuark dan antikuark (meson) (warna misalnya biru dan antibiru), atau ikatan 3 kuark (barion) (warna merah-hijau-biru)

Tetapi dwikuark, dua kuark bergabung, juga punyai perwakilan QCD sama seperti untuk antikuark. Bermakna, kalau kita gantikan kuark dan antikuark dalam meson masing-masing dengan antidwikuark dan dwikuark, kita masih dapat keadaan yang munasabah. Bermakna, kita boleh ada zarah yang berbentuk tetrakuark. Dan, kalau dilakukan bagi barion, kita boleh juga dapati keadaan-keadaan pentakuark, dan lain-lain....

Selasa, November 04, 2008

kebolehan eksekutif

kebolehan eksekutif. swakawalan. niatan. iradat. pilihan. ketentuan kendiri. kehendak bebas.

manusia mempunyainya? manusia mempunyainya, atau sekurang-kurangnya seakan mempunyainya.

haiwan mempunyainya? ia ciri kehidupan?

saya rasa ia bukan ciri semua kehidupan. hanya haiwan ke atas. bukan bagi tumbuhan. saya rasa kebolehan bergerak menjadi syarat untuknya. atau ia menjadi syarat untuk kebolehan bergerak. tumbuhan tidak bergerak secara iradatnya sendiri. ia hanya punyai gerakan tindakbalas kepada persekitaran. tetapi haiwan yang boleh bergerak boleh (atau perlu!) membuat keputusan sendiri dalam menentukan pergerakannya.

jadi 'free will' adalah ciri organisme yang punyai mobiliti. atau juga mobiliti adalah ciri organisme yang punyai kehendak bebas...

Khamis, Oktober 30, 2008

tanpa penglihatan

kalau seseorang itu buta sejak lahir, adakah ia faham konsep penglihatan? dia kan tak pernah melihat, jadi adakah dia faham deria penglihatan itu? (jadi, dia tak tahu apa yang dia tak ada! - tiada penyesalan sepatutnya.) kita ada imej visual dalam kepala kita, dia pula dalam kepalanya adalah 'imej'-'imej' yang berlainan bentuk.

kalau suatu tempat tu, semua penghuninya buta sejak lahir, dan mereka tiada pernah berhubung yang manusia yang melihat, bagaimana ya?

Rabu, Oktober 29, 2008

kucing bertandas

dari mana kucing belajar mengambus najisnya? saya tak pernah lihat mana-mana ibu kucing menunjuk-ajar anaknya. saya rasa anak kucing yang tak beribu pun kambus najisnya selepas bertandas.

(seekor kucing di jepun: buang, kambus, dan hidu untuk tentukan kambusan berkesan)


kalau ini menurut 'naluri', bagaimana ianya terstor dalam gen/neuron? kalau seluruh tatacara saya rasa terlalu kompleks untuk disimpan dalam jujukan bes dalam gen, atau dalam kekuatan sinaps di antara neuron-neuron. mungkin sebagai naluri seperti kehendak supaya bahu najis sendiri hendaklah dikambus. mungkin boleh eksperimen - letakkan najisnya, dan najis kucing lain dan najis lain di atas pasir, lihat apa tindakbalas kucing berkenaan...

dari segi evolusian pula, kemungkinan para 'darwinis' boleh cepat fikirkan (secara pascarasional sekali lagi!) apakah kelebihan evolusian dalam mengambus najis setelah bertandas. (supaya musuh tak dapat hidunya? - tapi dari segi kencing pula, anjing misalnya, nak kencing secara terang-terangan pula, dikatakan untuk menanda 'kawasan takluk'nya, atau untuk menanda jalan pulang!)











Ahad, Oktober 19, 2008

rambut rambutan


pokok rambutan di laman sudah berbuah.

kalau nak difikirkan, kenapakah rambutan ada rambut?
ini soalan untuk para pendokong evolusi.
apakah kelebihan rambutan mempunyai rambut dalam menentukan kemandiriannya?

mungkin mereka akan mendatangkan jawaban tertentu. tetapi ini ciri teori evolusi - pascarasionalan. sudah ada sesuatu fenomena dahulu, baru nak rasionalkan.
kalau kehendak popper, teori sains patut ada kuasa ramalan yang boleh kemudiannya diuji. kebolehsangkalan.

Isnin, September 08, 2008

bulan yang datang (bukan, bukan pasal ramadhan, tapi pasal ovulasi dan evolusi)

anggapan saya yang hanya manusia (yang perempuan) yang datang haid, ditentusahkan oleh seorang kawan yang vet.
hanya manusia betina yang datang haid. binatang punyai kitar ovulasi, tapi tak ada keluar darah.

bagaimana agaknya teori evolusi menerangkan hal ini...?

Rabu, Ogos 20, 2008

20:08 20-08-2008

kini jam 20:08.

hari rabu malam khamis 20-08-2008.

petang tadi redup.

Ahad, Ogos 10, 2008

taburan kaum yang rata

ogos dan bulan kemerdekaan datang lagi.
malaysia kini 51 tahun merdeka.

namun setiap kaum masih merungut tentang ketidaksamarataan kaum. taburan tak rata, menurut domain-domain tertentu. misalnya dalam polis, banyak melayu. dalam perniagaan, banyak cina. dalam estet, banyak india.

ada polisi mahukan kesamarataan secara kasar, misalnya d.e.b. mahukan 30% penyertaan bumiputra dalam perniagaan. tetapi kenapa 30%? kenapa tidak 55%, menurut pecahan penduduk sebenar?
sepatutnya, untuk kesamarataan dalam setiap domain, pembahagian menurut kaum seharusnya mengikut pecahan sebenar 55% melayu, 30% cina, 15% india (katakan). dalam lingkungan ralat.
misalnya, jabatan kimia ada 40 kakitangan. jadi sepatutnya 22 melayu, 12 cina dan 6 india. dengan ralat, dari taburan poisson, punca kuasa dua bilangannya, yakni 22 +- 4.7 melayu, 12 +- 3.5 cina, dan 6 +- 2.4 india. jadi, jika misalnya ia sebenarnya mempunyai kakitangan yang terdiri daripada 26 melayu, 9 cina dan 5 india, ia masih taat mengikuti taburan penduduk kebangsaan.

setiap domain: badan, organisasi, bidang, taman perumahan, bandar, jenis kerja, dsb sepatutnya diusahakan untuk mencerminkan pengagihan penduduk kebangsaan di dalam kandungannya masing-masing.

Jumaat, Ogos 08, 2008

08-08-08:08:08:08

hari ini jumaat,
08/08/08.
sekarang ini tepat 08:08:08.
pagi ceria.

Khamis, Julai 17, 2008

melompat dengan 'coke'

coca-cola 1 tin 355 ml.
Ia mengandungi gula yang banyak yang boleh memudaratkan.
Berapa banyak? Tidak diberitahu. Hanya diberitahu kandungan kalori - 42 kcal/100 ml. Ataupun, darab 4.18, bersamaan 175.56 kJ/100 ml. Atau 623 kJ satu tin.
Anggapkan inilah gula yang harus digunakan supaya tidak memudaratkan.
Katakan kita lompat-lompat untuk menggunakan gula ini.
Seorang yang berat 75 kg, jika melompat 1/2 meter lawan graviti, kerja yang dibuat ialah daya darab jarak iaitu jisimnya darab pecutan graviti darab jarak, atau 75 x 9.8 x 0.5 = 367.5 J.

Jadi, untuk menghabiskan gula dalam coke setelah diminum satu tin, dia harus melompat-lompat seperti itu 623000/367.5 = 1695 kali!

Rabu, Julai 16, 2008

x yang yatim

entah kenapa, kita gunapakai abjad inggeris secara pukal.

walhal kita tidak mengongsi bunyi konsonan dan vowel inggeris secara taat. kita ada bunyi yang diwarisi dari bahasa arab, misalnya, yang tak diwakili dalam abjad inggeris. dan ada huruf dalam abjad inggeris yang tiada bunyinya dalam bahasa kita.

dulu 'c' agak janggal, tetapi keadaan ini telah dibaiki dengan penggunaan 'c' seperti 'c' dalam bahasa itali, sebagai mengganti 'ch', apabila tibanya sistem ejaan baru sekitar 1970an.

dan 'q' telah secara lazimnya digunakan untuk mewakili 'qaf' dari abjad arab.

bagaimana dengan 'x'?

'x' mungkin boleh mewakili huruf 'ain' dalam abjad arab (atau sekarang 'xarab').

sistem ejaan baru telah membuang "'" yang dahulu digunakan untuk sukukata bermula 'xain', sementara menggantikan dengan 'k' pada sukukata berakhirkan 'xain'. ini bahaya, kerana misalnya 'nikmat' bermakna bertentangan dengan 'nixmat' (dengan 'xain') dalam bahasa xarab.

kalau tidak, buang sajalah 'x' dari abjad kita....

Isnin, Julai 07, 2008

kucing mendengar dalam 3D

manusia punyai 2 mata yang membolehkannya mederiai 2 imej yang sedikit berbeza akibat kedudukan mata yang berlainan. pengiraan stereo memberikan perasaan tiga dimensi. manusia boleh mengagak jarak - tutup satu mata dan anda tidak lagi boleh mengagak jarak dalam arah jejarian dari diri anda.

kucing punyai 2 telinga yang terletak kedua-duanya di bahagian atas kepala. agaknya kucing mempunyai pendengaran 3 dimensi seperti manusia melihat dalam 3 dimensi. agaknya kucing 'melihat' 'imej' pendengarannya. seperti manusia melihat sesuatu pemandangan dengan jelas, kucing agaknya mendengar sesuatu pemandangan itu dengan jelas.

atau lebih jelas lagi? kucing, kalau anda perhatikan, dapat mencorongkan telinganya ke arah sesuatu bunyi tanpa perlu memalingkan seluruh kepalanya!

Ahad, Julai 06, 2008

anjing, kucing, burung dan naga komodo

Anjing diketahui kuat deria hidunya. Bau.

Kucing pula anda mungkin perhatikan bahawa pendengarannya amat peka. Jarang anda dapat menghampirinya secara senyap dan memeranjatkannya - biasanya ia dapat mengesan tapakaki anda walau sangat perlahan.

Spesis burung pula saya rasa penglihatannya sangat tajam. Ayam dapat mengesan beras di antara pelbagai barang di atas tanah. Helang dapat mengesan mangsanya dari ketinggian yang besar. Burung merpati juga dapat mengesan cebisan roti dari jarak yang jauh.

Naga komodo mempunyai lidah yang merupakan sistem deria yang peka. Ia semacam menghidu bahan-bahan tertentu (seperti bangkai dsb) menggunakan lidahnya yang dijelirkan dari masa ke masa. Lidah yang bercabang dua juga memberi maklumat arah iaitu stereo.

Isnin, Jun 23, 2008

Apa itu kehidupan?

Merupakan tajuk suatu buku oleh Schroedinger diterbit 1944. Kehidupan sebagai mekanisme yang rumit.

Wigner [dlm The Logic of Personal Knowledge, Routledge & Keagan Paul, London, 1961] pula mendakwa suatu sistem tidak dapat membuat peralihan dari keadaan takhidup ke keadaan hidup tanpa mencanggahi hukum kuantum.

Pendokong idea yang kehidupan memerlukan suatu "daya kehidupan" dipanggil 'vitalis'.

Apabila Muhammad al'Mahdi [The Unified Theory of Existence vol. 1 The Created Universe, The Khalifiah Institute, Ampang (Malaysia) 2005] mencadangkan benda-benda mempunyai kecenderongan untuk memanifestasikan keadaan lebih 'tinggi' (~ kompleks), sebagai ganti kepada persaingan dalam kemandirian yang tercocok Darwinisme, untuk menerangkan penjelmaan biologi dan kehidupan, ia merupakan penggunaan idea vitalisme. Namun beliau tidak memberikan penerangan fizik yang lebih butiran tentangnya.

Paul Davies [The Origin of Life, Penguin Books, London, 2003] meyakinkan bahawa kehidupan membabitkan pemusatan maklumat (entropi sistem hidup berkurangan, sementara keseluruhannya bersama persekitaran, entropi meningkat, seperti kehendak Hukum Termodinamik Kedua). Ini dapat menerangkan sebahagian ciri-ciri sistem hidup yang juga beliau senaraikan, seperti pembiakan, penumbesaran dan pengembangan biologi, metabolisme (dan pemakanan/nutrisi), kekompleksan dan kandungan maklumat, organisasi (atau kekompleksan terorganisasi atau kekompleksan terarah) tapi belum cukup untuk menerangkan autonomi. Ciri-ciri lain disebut ialah ketersangkutan perkakasan-perisian dan konjungsi tegang di antara pengekalan dan perubahan.

Beliau mengambarkan autonomi seperti berikut: Burung yang mati dilempar jatuh seperti dijangkakan untuk sesuati yang mati seperti batu; burung yang hidup dilempar berakhir mungkin di dahan suatu pohon atau tempat lain yang tidak dijangkakan.

Jumaat, Mei 09, 2008

kata

kata adalah kuantum wacana.

persoalan: haruskah sang suria dirujuk oleh dua kata "mata hari" atau satu kata "matahari"? wibawakah 'matahari' untuk berdiri sendiri mendesak hak untuk wujud sebagai suatu entiti, atau masihkah perlu dua kata untuk menunjukkan kepada satu objek?

Rabu, April 09, 2008

"survival of the fittest" adalah tautologi

'kemandirian yang tercocok' atau 'kemadirian yang terpadan' atau 'kemadirian yang tercergas'.
tautologi. ya, tautologi. tiada makna tambahan. swasokong. sokong sendiri. syok sendiri.

tentulah kita definisikan yang mandiri itu yang tercocok/terpadan/tercergas. atau ada nama lain yang diberikan kepada golongan ini. jadi tiada makna prinsip 'kemandirian yang tercocok/..'. ia memang benar secara definisi. tautologi.

jadi, satu prinsip utama evolusi darwin adalah suatu tautologi. tak perlu gaduh ia benar atau tidak. ia tautologi.

Isnin, April 07, 2008

kismis

orang kata, makan kismis nak jadi pandai. hanya sekadar kata orang?

rupa-rupanya, lebih seratus tahun yang lalu, doktor kepada raja england, sir francis laking, m.d., telah menulis tentang kelebihan kismis. dia menyatakan bahawa kismis mempunyai 54.87 % lebih khasiat penuh berbanding daging.

Ahad, April 06, 2008

kerajaan bukan demokrasi

apakah raison d'etre kerajaan? apakah tugas kerajaan?
kerajaan sepatutnya membawa imbangan. mencampurtangan apabila diperlukan, untuk melindungi yang lemah daripada yang kuat.

demokrasi memenangkan yang kuat. memberi kuasa kepada yang kuat. kerajaan demokrasi bermakna kerajaan oleh yang kuat. yang bisa saja melanyak yang lemah.

demokrasi tidak diperlukan untuk kerajaan yang bercampurtangan. demokrasi adalah menurut biologi tabii. kemandirian yang terkuat ('survival of the fittest'). tidak perlu dikuatkuasakan demokrasi. ia adalah tabii. ia adalah biologi.

kerajaan yang dikuatkuasakan ialah yang melindungi yang lemah dari yang kuat. yang minoriti dari yang majoriti.

pokoknya

pokok rambutan di laman rumah agak kecil. kalau diandaikan dedaunannye membentuk sfera, mungkin sfera itu berjejari 2 m. Secara naifnya, luas permukaan daun yang kena cahaya suria langsung mungkin pi x (2 kuasa 2) = 12.6 meter persegi.

proses fotosintesis menyerap 20 mikromol karbon dioksida setiap meter persegi sesaat. dalam 12 jam siang dalam sehari, pokok rambutan di laman rumah melupuskan 12x60x60x20x12.6 = 11 juta mikromol atau 11 mol atau 11x22.4 = 246 liter isipadu karbon dioksida. 250 kotak susu seliter bukanlah jumlah yang sedikit!

proses fotosintesis menyerap 8 foton per molekul karbon dioksida. foton dengan jarak gelombang 960 nm bermakna hc/960 nm = 6.6x3/960 femtoJoule tenaga, jadi setiap saat, pokok rambutan di laman rumah meresap 20x12.6x8x6.6x3x6/9600 kJ = 24.8 kJ tenaga, atau pun ia meresap dengan kuasa 24.8 kW. sementara penyaman udara di bilik berkuasa 1.5 hp = 1.5x746 W = 1.1 kW. pokok rambutan di laman rumah seperti 24 penyaman udara di bilik!

proses fotosintesis juga menggunakan satu molekul air per molekul karbon dioksida. jadi pokok rambutan di laman rumah menyerap dari tanah 20x12.6 mikromol air per saat, ataupun 20x12.6x18 nanoliter per saat = 4.5 mikroliter per saat = 0.27 mililiter per minit = 16 ml sejam.
tak banyak sangat. tapi menyumbang juga kepada saliran banjir...

Ahad, Mac 16, 2008

dilema mahathir

ini suatu permainan. seperti dilema banduan, di mana ganjaran untuk kerjasama atau belot bergantung kepada apa pilihan banduan yang satu lagi.
dilemanya ialah dalam memilih pemimpin pelapis. mahunya, untuk kebaikan organisasi, pilihlah yang terbaik. tapi ini boleh menggugat kedudukan sendiri dalam kepimpinan organisasi.
mungkin boleh diformalkan dalam bahasa teori permainan.

permainan politik

politik ialah permainan. parti politik bermain. pengundi bermain. ada pilihan, ada ganjaran. kalau dimodelkan dari konteks teori permainan, saya rasa, dalam keadaan yang cekap (dari segi aliran maklumat - seperti kecekapan sistem ekonomi), sistem politik akan berevolusi ke arah sistem dua parti, apabila gabungan didapati berganjar lebih bagi parti-parti kecil yang hampir sealiran. pendirian dua parti ini pula mempunyai jarak pembezaan nipis, yang meniti di atas rantau genting fungsi hantaran pilihan pengundi.

Rabu, Mac 12, 2008

mula

hari ini, 12-3 (2008), saya mula berblog. fenomena komputer/internet yang lebih muda dari saya (saya dewasa semasa PC, ZX81 dan e-mel mula berleluasa). mungkin tak disangka pemblogan akan menjadi suatu aplikasi pembunuh ('killer application'). atau juga friendster dan sejenisnya, juga you tube. semacam rakyat biasa telah mengatasi ahli teknologi dalam menentu corak internet yang dimahukan. seperti pilihanraya malaysia 8-3-08 lalu. rakyat biasa telah mengatasi jurutera sosial dalam menentukan corak kerajaan yang dimahukan.