Jumaat, Julai 31, 2009

Fizik zarah 0.1

Weltanschaung (pandangan dunia) bahawa alam ini terdiri daripada pelbagai zarah dalam pelbagai bentuk, kedudukan dan aturan sebagai pelakon utama, dan ruang kosong sebagai latar, boleh dijejak kepada pemikir Yunani, Demokritus (460-370 SM). Zarah-zarah ini membina jirim, dan unsur terkecil sesuatu jenis jirim ialah atom. Atom adalah bahagian terkecil jirim - ia tdak boleh dibahagi lagi; ia masih mengandungi segala sifat yang dipunyai oleh jirim berkenaan. Sebelum itu, Anaksagoras (500-428 SM) menyatakan bahawa perubahan dalam jirim adalah akibat perubahan dalam aturan zarah-zarah (tiada pemusnahan atau penciptaan jirim - keabadian jirim), dan Empedocles (484-424 SM) menyatakan bahawa ada empat unsur - tanah, api, air dan udara.

Daripada konsep keatoman/keunsuran yang agak naif itu, kita kini boleh postulatkan kewujudan zarah-zarah keunsuran, dengan sifat-sifat unsur, tetapi sifat-sifat ini bukanlah sifat yang sama yang dipunyai jirim pukal. Bahkan, salingtindak di antara zarah-zarah ini menghasilkan sifat kolektif yang berlainan, tetapi masih tertentu. Namun, zarah-zarah keunsuran masih perlu menjadi 'pemegang' sifat-sifat tertentu, yang berpindah bersama berpindahnya kedudukan zarah berkenaan. Sifat-sifat ini (yang sekarang misalnya dinamakan cas, jisim, dsb) seakan melekat kepada zarah-zarah ini, yang biasanya dianggap seperti titik. Bagaimanakah titik yang tak punya sifat itu boleh membawa sifat-sifat berlainan berlainan zarah? Bolehkah kita ada titik-titik yang berbeza jenis?

Khamis, Julai 30, 2009

keatoman masa

Dalam falsafah sains Islam, ada pendokongan keatoman masa.

Keatoman ruang adalah biasa, seperti dalam graviti kuantum, di mana ada had terkecil saiz ruang, yang dalam graviti kuantum, dikaitkan dengan jarak Planck. Keatoman masa menyatakan bahawa ada saiz terkecil masa, yang digabungkan untuk membina paksi masa yang makro.

Dalam falsafah sains Islam, alam dijadikan pada setiap detik masa oleh Pencipta; yakni bukan sekali dijadikan kemudian ia kekal dalam kejadiannya 'sehingga diberitahu kelak', tetapi ia memerlukan perintah jadi pada setiap detik masa. Jadi keatoman masa cocok dengan konsep ini.

Dalam fizik kuantum, keadaan sesuatu sistem ditentukan oleh ukuran. Dan dalam fizik kuantum sesuatu ukuran itu boleh mengubah keadaan sistem berkenaan. Bila suatu ukuran itu dibuat, sistem berada dalam keadaan eigen berkenaan sehingga ukuran pencerap yang pelengkap kepada ukuran awal itu dibuat, bila mana keadaan sistem berubah dilingkungi ketakpastian berkenaan.

Kita boleh bayangkan sistem kuantum yang setiap detik diukur dan mengambilpakai keadaan tertentu dalam lingkungan ketakpastian. Seperti penciptaan yang berlaku pada setiap detik masa dalam falsafah sains Islam...

Sabtu, Julai 25, 2009

Puisi 1.2

Walaupun bentuk puisi bukan mengalir bebas bebas seperti prosa, dan seolah-olah terkekang ke dalam bentuk bait dan baris, ia sebenarnya lebih bebas daripada prosa kerana ia tidak tertakluk kepada hukum-hukum nahu secara ketat seperti dalam prosa. Baris-baris puisi tidak semestinya perlu berbentuk ayat, dengan subjek dan predikat. Predikat tidak perlu datang selepas subjek secara aturan. Dan sebagainya.

Begitu juga dari segi semantik atau makna. Aturan kata-kata dalam baris puisi tidak perlu memberikan makna yang koheren, apa lagi yang mudah. Bahkan aturan huruf-huruf yang tidak membentuk kata yang lazim juga pernah diketengahkan dalam puisi.

'Lesen puisian' digunakan sebagai surat kebenaran untuk kebebasan bentuk, sintaks dan semantik dalam puisi.

Selasa, Julai 21, 2009

Puisi 1.1

Mengapakah seseorang itu menulis? Komunikasi. Dia mahu sampaikan sesuatu kepada orang lain.

Atau juga sebagai rekod, catatan, Tetapi ini juga sebenarnya merupakan komunikasi, samada kepada orang lain, mahupun dirinya sendiri, pada waktu yang lain.

Puisi adalah sejenis bentuk penulisan. Orang yang menulis puisi mahu mengkomunikasikan sesuatu, dengan perantaraan bentuk yang kenali puisi. Dia tidak memilih bentuk lain seperti prosa. Dia percayai yang bentuk puisi itu ialah yang paling berkesan untuk penyampaiannya.

Bentuk puisi lazimnya menghadkan teks kepada bait-bait dan baris-baris. Ada penyertaan perkataan-perkataan tertentu dan ada peninggalan. Prosa sebaliknya agak lebih lega, kurang terkongkong. Seseorang boleh beri penerangan panjang-lebar menerusi prosa. Namun bagi sang pemuisi, dia merasakan lebih berkesan menulis dalam bentuk-bentuk terkekang daripada memberi penerangan berjela mengenai apa yang hendak disampaikan.

Rabu, Mei 13, 2009

Rekabentuk Sistem Maklumat - U

Dulu, disebut AEIOU sebagai pertimbangan penting dalam rekabentuk sistem maklumat -
A - automation
E - enablement
I - integration
O - open
U - utility

U juga boleh dikaitkan dengan user-centric - berpusatkan pengguna, dan bukan berpusatkan aplikasi, berpusatkan jadual data, dll.

Jumaat, Mei 08, 2009

daya kehidupan

semalam ustaz murshidi menyatakan bahawa bagi makhluk, ridho itu iradatul ihsan, iaitu menghendaki kebaikan, yang sama juga dengan tidak menghendaki keburukan.

adakah ini 'the life force'? daya kehidupan?
yang menjana kekompleksan biologi?

adakah prinsip ini yang menjadi pengawal dalam menjana aliran fikiran berjujukan dalam kognisi? yang menentukan arah dalam neuropemprosesan maklumat? yang menjadi sasaran ('goal') utama dalam klausa-klausa Horn yang memerihalkan logik pemikiran?

Selasa, Mac 31, 2009

fizik organisasi 0.2

dalam organisasi ada sistem-sistem ganjaran, sumber, ukuran, kawalan.

Isnin, Mac 02, 2009

teringat tanah

doa nabi salallahu alaihi wassalam ketika terlihat wanita bukan mahram bermaksud "wahai Allah sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau daripada fitnah wanita dan azab kubur". mengapa tiba-tiba ada minta keselamatan dari azab kubur, ya?

kalau difahami nabi salallahu alaihi wassalam itu seorang yang sentiasa mengingati akhirat, dan apa-apa kaitanpun membuatnya terus mengingati akhirat, maka bolehlah dihipotesiskan bahawa apabila terlihat wanita, pandangan direndahkan, terpandang pula tanah, dan tanah ini mengingatkan beliau terus tentang kubur dan azabnya...

Selasa, Februari 17, 2009

teringat api

doa nabi salallahu alaihi wassalam ketika makanan di hidangkan bermaksud "wahai Allah berikanlah akau baeakah dalam rezeki yang Engkau sediakan untukku dan selamatkanlah aku dari api neraka". mengapa tiba-tiba ada minta keselamatan dari api neraka, ya?

kalau difahami nabi salallahu alaihi wassalam itu seorang yang sentiasa mengingati akhirat, dan apa-apa kaitanpun membuatnya terus mengingati akhirat, maka bolehlah dihipotesiskan bahawa apabila makanan dihidangkan, ia biasanya panas (kadang-kadang berasap lagi), dan kepanasan ini mengingatkan beliau terus tentang api di kiamat...

Sabtu, Januari 31, 2009

kuark dalam hadron

adakah aku naif? tapi, kalau nak fikirkan, tidakkah cas elektrik bermaharajalela dalam hadron? daya nukleus kuat, menerusi qcd, mengalami kebebasan asimptot. kuark yang walaupun terkurung, bersiar-siar bebas dalam lingkungan isipadu hadron. tetapi tidakkah sekarang berlaku tarikan atau tolakan e/m antara jenis-jenis kuark dan antikuark?

jadi dalam proton, misalnya, dua kuark naik berada di tepi-tepi sempadan 'beg' proton yang bertentangan, sementara kuark turun melekat kepada satu daripadanya? yang tolak tak ada masalah, yang tarik tu, tak ada daya nak hadkan tarikan tersebut (dulu qcd, tapi qcd dah timbulkan kebebasan asimptot pada jarak berkenaan).

jadi apa jadi? adakah tarikan tak tertahan ini mengakibatkan lohong hitam? atau ada tenaga minimum seperti dalam pengkuantuman ayunan harmonik mudah? atau adakah pengiraan kebebasan asimptot itu telah mengambilkira e/m - yakni qcd semacam menyesuaikan diri supaya mengimbangi e/m dan hasil keseluruhannya kebebasan asimptot? adakah aku naif dan perkara ini telah diselesaikan zaman dulu-dulu lagi?

Rabu, Januari 28, 2009

kejuruteraan organisasi

organisasi adalah seperti perisian. bahagian-bahagiannya seperti modul-modul.

dulu-dulu, kita definisikan organisasi dari segi tatacara dalam sesuatu tugasan, seperti kaedah ISO dsb. ini seumpama bahasa aturcara tatacaraan, seperti fortran dan c.

kita boleh lihat bahagian-bahagian dalam organisasi dari segi fungsinya masing-masing. ini seumpama bahasa aturcara fungsian. dan/atau isytiharkan logik di antaranya, meniru bahasa-bahasa isytiharan seperti prolog.

organisasi menjadi berasaskan objek bila kita lihat bahagian-bahagian sebagai objek yang tersalut dengan sorokan maklumat. boleh diguna semula.

kita boleh gunakan kaedah-kaedah kejuruteraan perisian, seperti analisis keperluan, penentusahan dan pengesahan, dll, dalam membina organisasi.

Isnin, Januari 12, 2009

fizik organisasi 0.1

(fizik pengurusan 0.0)

pengurusan membabitkan pengutusan mesej yang mengoptimumkan permesejan organisasi vis-a-vis sasaran organisasi.

fizik organisasi 0.0

kajian organisasi manusia formal.

pada asasnya, organisasi ialah rangkaian agen berutus.

[tesis "urus = utus"]

Khamis, Januari 08, 2009

darjah kebebasan

dari nol

penciptaan mencipta darjah kebebasan. untuk meraikan penciptaan. dan Pencipta.

Selasa, Januari 06, 2009

objek kuantum

objek dengan pembungkusan dan kaedah-kaedah sendiri.
dengan warisan dan polimorfisme.

objek kuantum dengan ketakpastian, interferens, ketersangkutan. keadaan eigen atau campuran. ukuran dan kejatuhan keadaan kuantum.

Ahad, Januari 04, 2009

a e i o u dalam merekabentuk sistem maklumat

a - automation: keautomatikan
contoh - e-mel pemberitahuan mesyuarat secara automatik mengemaskini kalendar peribadi
prinsip - pengaliran maklumat

e - empowerment: kepenguasaan
contoh - pengguna boleh memanipulasi data seperti kuasa yang diberinya, tidak perlu melalui pengaturcara
prinsip - kuasa dalam talian = kuasa luar talian

i - integration: kesepaduan
contoh - semua sistem berhubung di antara satu sama lain, dan konsisten
prinsip - ketunggalan maklumat

o - open: terbuka
contoh - pangglan khidmat web yang piawai
prinsip - kepiawaian

u - utility : kebolehgunaan
contoh - maklumat yang sering digunakan berada di laman hadapan
prinsip - klik minimum (dalam maklumat berkadaran songsang dengan frekuensi maklumat)